Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan program tersebut sebagai satu pendekatan kreatif dan berinovasi berbanding cara bantuan dihulurkan sebelum ini.
“Kalau dulu kita sampaikan (bantuan) di awal tahun, mungkin ada kemeriahan tetapi dari sudut ekonomi ataupun pengurusan bajet, ibu bapa terpaksa membeli dahulu pakaian anak mereka.
“Ia bermakna, serapan bantuan itu tidak begitu tepat kepada pemberian, tetapi ia hanya lebih bersifat tambahan. Program kali ini pula merupakan satu persediaan awal yang membenarkan ibu bapa menguruskan kewangan mereka untuk pembelian peralatan-peralatan pada sebelum bermula­nya sesi persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Iqra Tabung Haji 2016 dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah.
Dalam masa sama, tambahnya, program tersebut bersifat serampang dua mata yang bermatlamat mendidik minda, membentuk peribadi, menggilap potensi diri serta mengukuhkan jati diri pelajar-pelajar.
“Tabung Haji akan mengagihkan sumbangan zakat di bawah Program Iqra dengan tujuan membolehkan pelajar-pelajar asnaf dan kurang berkemampuan membuat persediaan serta persiapan untuk sesi persekolahan 2017.
“Setiap pelajar akan menerima sumbangan sebanyak RM500 iaitu kelengkapan persekolahan bernilai RM200 dan wang tunai RM300. Jumlah sumbangan kese­luruhan adalah RM234,000 untuk 468 orang pelajar dari 16 buah sekolah terpilih,” katanya.
Beliau juga sempat berpesan supaya sumbangan wang tunai RM300 yang diterima digunakan bagi tujuan menjelaskan yuran persekolahan, membeli buku dan keperluan persekolahan sahaja.
Bagi 2016, Tabung Haji menya­sarkan agihan zakat pendidikan berjumlah RM2 juta untuk 4,000 pelajar asnaf terpilih di bawah Program Iqra yang dilaksanakan di seluruh negara sepanjang bulan ini.
Sumber : Utusan Malaysia (10 November 2016 12:53 AM).